Thursday, October 29, 2009

Panduan Pelaris Perniagaan

1. Niat
- niat yang bersih, ikhlas kerana Allah Ta'ala. Segala kekayaan adalah milik Allah, kita hanya sebagai pemegang amanah dan menggunakan kekayaan untuk kembali mensyukuri nikmat Allah dan memakmurkan diri dan orang lain kerana Allah jua. Tiada sikap bermegah, riak, berbelanja sesuka hati, boros dan lebih parah membelanjakan ke jalan yang maksiat dan memudaratkan iman dan amal seperti mengunjungi pelacur, arak, judi dan berzina juga merasuah.


2. Sembahyang Fardu

Amalan asas yang wajib di lakukan dengan sempurna dan penuh khusyuk sebagai tanda kesyukuran kepada nikmat rezeki dan kekayaan yang Allah berikan. Menghindar kemurkaan Allah kerana meninggalkan Solat akan melambatkan rezeki seolahnya rezeki berada di atas kepala tetapi terhalang sampai di tangan kerana melalaikan amalan wajib iaitu solat yang menjadi prasyarat turunnya rezeki itu.

3. Berdoa

Sentiasa berdoa setiap masa dalam apa jua yang di lakukan atau harapkan kerana semua yang berlaku adalah dengan izin Allah jua. Walaupun setelah berhempas pulas, berusaha bersungguh-sungguh namun rezeki akan terhalang kerana kita tidak meminta dengan ikhlas seolahnya segala sesuatu atau rezeki itu datang sendiri tanpa ihsan dari Allah. Dialah yang Maha Pemberi, Maha Memiliki, maka mintalah dan kita dijanjikan untuk memperolehinya bagi mereka yang meminta.

4. Sedekah

Sedekah akan menyucikan harta dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Bersedekah tidak akan mengurangkan kekayaan bahkan Allah akan menambah berkali-kali ganda dari syafaat sedekah ini. Sedekah paling afdal yang paling dekat dengan kita seperti keluarga yang susah, jiran tetangga, di mukim atau kampung sebelum menyalurkan ke tempat-tempat yang lain. Sedekah wajib ikhlas tanpa mengharap balasan atau imbuhan berganda walaupun memohon imbuhan berganda dari Allah kerana sedekah kita adalah untuk mendapat rahmat dan keredhaannya. Rezeki datangnya dari Allah.

5. Zikir

Zikir mengingati Allah pada setiap masa dan menjadi amalan yang mulia. Di antar zikir khusus ialah Ya Razzaq bermaksud Yang Memberi Rezeki sebanyak mungkin selain zikir-zikir yang lain. Sesungguhnya di dalam nama Allah terkandung rahsia yang tidak kita ketahui.

No comments:

Post a Comment